Thursday 26 June 2014

Penulisan Bahasa Melayu

JBEA1102: Penulisan Bahasa Melayu
Pensyarah : Dr. Rohaidah bt Harun



TAJUK : Keldai Dadah : Tipah Tertipu



 1)Noor Shazlifazillah Bt.Mohd Razali (JEB120010)
2) Nurul Nadiah Bt Harun (JEB120014)
3) Nik Ezzah Azreena Bt Nik Yaacob (JEB120009)
4) Han Delin (NEJ 120297)


Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya
Kuala Lumpur
2012/2013



1.0 Pengenalan

     Keldai Dadah : Tipah Tertipu? Sememangnya pernyataan ini sedikit sebanyak telah menimbulkan tanda tanya kepada kita, tentang makna disebalik pernyataan tersebut. Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun, keldai dadah merujuk kepada seseorang yang secara rela atau telah diperdaya untuk menjadi pembawa dadah secara haram dan tersembunyi ke negara lain. Kebiasaannya, kegiatan ini melibatkan sindiket antarabangsa yang mempunyai rangkaian perhubungan yang luas, dalam merekrut mangsa untuk dijadikan keldai dadah. Beliau juga menyatakan bahawa sindiket ini bijak merancang dan mengambil peluang terhadap mangsa yang naif, kerana mampu mengurangkan risiko pengedar atau penyeludup dadah terbabit tertangkap. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Narkotik Bukit Aman, peratusan rakyat Malaysia yang ditangkap diluar negara adalah membabitkan kaum wanita kebanyakannya. Oleh sebab itu, wanita yang menjadi mangsa sindiket ini telah disimbolikkan dengan tajuk lagu iaitu tipah tertipu, yang membawa maksud kaum wanita dengan sewenang – wenangnya telah tertipu dengan sindiket ini.

         Baru – baru ini, Berita Harian telah mendedahkan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Luar Negeri bahawa seramai 72 orang rakyat Malaysia telah ditahan oleh pihak berkuasa China kerana cuba membawa masuk dadah, malah kes yang paling banyak berlaku adalah di Guangzhou iaitu sebanyak 33 kes. Lebih menyedihkan lagi, kesemua yang ditahan ini adalah membabitkan kaum wanita. Selain negara China, antara lokasi rakyat Malaysia yang pernah ditahan ialah di Itali, Sepanyol, Peru dan Jepun. Hal ini sangat mendukacitakan kerana kesemua mangsa yang ditahan adalah membabitkan kaum wanita. Keadaan ini semakin membimbangkan dan membuatkan kita tidak senang duduk kerana memikirkan nasib anak – anak remaja dirumah kerana bimbang menjadi mangsa penipuan sindiket ini. Persoalannya, apakah punca utama yang menyumbang kepada kejadian yang semakin meningkat dan membimbangkan ini sehinggakan rakyat kita, baik wanita mahupun lelaki begitu mudah terpedaya dan tertipu dengan sindiket seperti ini? Apakah pula langkah – langkah yang perlu dilakukan untuk membendung masalah ini? Penulis akan mengupas penulisan ini satu persatu agar dapat memberi pencerahan kepada semua tentang permasalahan ini.

2.0 Faktor – faktor Yang Menyebabkan Kes Keldai Dadah Semakin Meningkat

2.1 Tahap Pemikiran Individu Yang Masih Lemah Dan Mudah Di Tipu

         Salah satu sebab kes keldai dadah semakin meningkat, adalah kerana sikap individu itu sendiri yang berfikiran lemah dan mudah ditipu. Hal ini demikian mereka mudah terpedaya dengan janji – janji manis sindiket ini, yang berjanji untuk menawarkan gaji yang lumayan kepada mereka. Hal ini sangat malang, kerana mangsa baik lelaki mahupun perempuan dengan mudahnya telah terpedaya dengan sogokan yang dijanjikan oleh sindiket ini. Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, iaitu Dato’ Sri Khalid Abu Bakar, ramai mangsa yang telah diperdaya menjadi keldai dadah mengakui bahawa, mereka langsung tidak menyiasat latar belakang syarikat yang menawarkan kerja kepada mereka. Kata beliau lagi, sesetengah wanita bersikap mudah percaya dan kelabu mata dengan kemewahan dan cinta yang ditawarkan oleh lelaki asing yang baru mereka kenali. Perkara ini telah menyebabkan mereka pendek akal dan sanggup melakukan apa – apa sahaja untuk membuktikan cinta mereka tanpa memikirkan keburukan yang akan timbul. Hal ini sedikit sebanyak telah mencetuskan fonemena yang menunjukkan bahawa kaum wanita telah menjadi ‘Tipah tertipu’ kerana dengan mudahnya menerima arahan daripada lelaki asing yang hanya baru dikenali, untuk membawa dadah sebagai membuktikan cinta mereka.

        Sepanjang tahun lalu saja, seramai 35 rakyat Malaysia telah ditahan atas kesalahan menyeludup dadah di seluruh dunia, dengan sebahagian besarnya mendakwa diperdayakan oleh sindiket antarabangsa. Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata pada tahun 2007 seramai 127 orang wanita Malaysia telah ditahan di luar negara kerana memiliki dadah untuk tujuan pengedaran oleh sindiket yang menjadikan mereka keldai dadah ini. Lebih mendukacitakan lagi, wanita – wanita ini mengatakan bahawa mereka talah diperdaya dan tidak tahu apa – apa kerana mereka hanya disuruh pergi bercuti ke luar negara oleh syarikat, malah semua perbelanjaan ditanggung oleh syarikat sepenuhnya. Menurut pihak Kementerian Luar Negeri, wanita – wanita ini mudah diperangkap oleh sindiket ini kerana sikap mereka sendiri yang tamak dan ingin lari dari kesempitan hidup. Bagi rakyat kita yang membuat kerja ini dalam keadaan sedar, sikap tamak untuk menjadi kaya dengan cepat, telah menyebabkan segala nasihat dan pendedahan mengenai kes ini tidak dipedulikan dan diambil kisah. Bagi mereka, sekiranya bernasib baik keuntungan berjuta ringgit menanti mereka walhal mereka tahu risiko yang terpaksa mereka tanggung. Namun, disebabkan oleh pulangan yang lumayan mereka sanggup mengharungi risiko tersebut.

      Walau bagaimanapun, perkara yang lebih merunsingkan lagi ialah nasib golongan yang diperdaya atau ditipu untuk membuat kerja ini. Perkara ini merunsingkan kerana, masih ramai mangsa yang terjerat mengadu bahawa mereka langsung tidak sedar diri dipergunakan atau diperdaya untuk menjadi keldai dadah. Hal ini kerana Mereka hanya sedar apabila mereka ditahan dan ditangkap di lapangan terbang ataupun di negara luar oleh pihak berkuasa tempatan. Selain itu, sikap individu yang tidak mengambil tahu isu – isu semasa turut menyebabkan mereka mudah diperdaya oleh sindiket dadah ini. Apabila mereka tidak tahu akan isu – isu pasal keldai dadah ini, maka mereka dengan mudahnya akan terpedaya dengan janji – janji manis yang ditawarkan oleh agensi atau syarikat yang menjadi dalang merekrut mangsa untuk menjadi keldai dadah. Menurut Ketua Polis Jenayah Narkotik, sikap individu yang sambil lewa terhadap isu – isu semasa hendaklah diubah, supaya mereka tidak menjadi salah seorang mangsa yang akan diperdaya oleh sindiket ini.

2.2 Masalah Kewangan Yang Dihadapi

          Antara punca lain yang turut menyumbang kepada peningkatan kes keldai dadah ialah masalah kewangan yang serius. Apabila sesetengah individu mengalami masalah kewangan yang serius, hal ini secara tidak langsung turut mempengaruhi taraf hidup atau taraf ekonomi mereka. Lazimnya, mereka yang tinggal di kota besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bharu akan merasai betapa peritnya tinggal di kota – kota besar tersebut kerana memerlukan perbelanjaan yang besar bagi menampung kehidupan di kota besar. Menurut timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman iaitu Datuk Othman Harun, didapati bahawa mangsa yang menjadi keldai dadah ini bukan semuanya diperdaya kerana terdapat sesetengah mangsa yang telah ditangkap mengakui bahawa mereka mengetahui mereka telah dijadikan keldai dadah serta risiko yang terpaksa ditanggung. Namun, disebabkan oleh wang yang ditawarkan lumayan serta mampu memberikan mereka kemewahan, maka mereka sanggup menanggung risiko tersebut.

        Menurut beliau lagi, keldai dadah yang sering kali melibatkan kaum wanita ini yang menjadikan mereka Tipah tertipu adalah disebabkan sifat mereka sendiri yang mudah terpedaya dengan wang atau pakej – pakej lumayan yang ditawarkan oleh sindiket terbabit. Lebih malang lagi, terdapat segelintir golongan suri rumah telah diperdaya oleh sindiket dadah untuk menjadi keldai dadah. Walau bagaimanapun, suri rumah itu sendiri yang bersalah kerana telah menceritakan dan meluahkan perasaan kepada orang yang tidak dikenali tentang cara untuk mengubah hidup mereka serta perasaan ingin menjadi kaya secara mudah dan cepat. Perkara ini , apabila diluahkan kepada orang yang jahat maka mereka secara tidak langsung akan merekrut suri rumah terbabit untuk menjadi keldai dadah tanpa mereka sedari. Hal ini sendiri turut diakui oleh Menteri Luar Negeri iaitu Datuk Arnifah bahawa kaum wanita kini terlalu mudah percaya terhadap orang yang baru dikenali. Baru – baru ini satu siasatan telah diadakan di Jalan Chow Kit Kuala Lumpur. Menurut timbalan Pengarah Siasatan Jenayah (Narkotik) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, hasil perisikan , seorang wanita mengadung telah ditahan kerana menjual dadah, malah wanita ini juga turut mengakui bahawa dia dan sindiket dadah telah merekrut lebih 10 orang gadis dari kampung yang dating mencari pekerjaan di Kuala Lumpur untuk menajdi keldai dadah.

          Perkara ini sangat mengejutkan kerana, masih ada gadis diluar sana yang masih terpedaya dengan janji yang dilontarkan oleh sindiket iaitu keuntungan dan kekayaan dalam jangka masa pendek. Keadaan ini sedikit sebanyak membuatkan kita terfikir, mengapakah kaum wanita ini terlalu mudah ditipu? Atau mereka sudah kelabu mata dengan tawaran yag ditawarkan oleh sindiket sehinggakan mereka tidak mampu untuk memikirkan kesan yang akan berlaku kelak? Menurut mantan menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin, pelajar – pelajar yang telah ditahan diluar negara akibat menjadi mangsa keldai dadah telah digantung belajar dan meringkuk dalam penjara menanti hari perbicaraan. Hal ini sangat menyedihkan kerana, disebabkan wang mereka sanggup menyusahkan diri menanggung risiko untuk mendapatkan wang yang banyak, tanpa memikirkan kesan yang akan timbul. Jelaslah bahawa, masalah kewangan yang serius turut menyumbang kepada kes keldai dadah, malah ianya sering melibatkan kaum wanita. Sudah tertipukah mereka?

2.3 Permintaan Dadah Yang Semakin Meningkat Dari Semasa Ke Semasa

            Dewasa kini, kes penyeludupan dadah melibatkan kaum wanita atau lebih dikenali sebagai “keldai dadah” telah menjadi satu masalah rentas sempadan yang mendapat perhatian antarabangsa. Salah satu punca berleluasanya kes “keldai dadah” ini adalah permintaan dadah yang tinggi dan meluas di pasaran seluruh dunia. Jenayah dadah tidak akan sesekali lenyap selagi wujudnya permintaan sepertimana konsep perniagaan iaitu “selagi ada permintaan, selagi itulah wujudnya penawaran. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Narkotik) Bukit Aman, iaitu Datuk Noor Rashid Ibrahim, dadah jenis syabu dari Malaysia diakui sebagai dadah yang paling bermutu tinggi dan mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penagih di Indonesia. Berikutan itu, kegiatan pengedaran dan penyeludupan syabu dari Malaysia semakin menjadi-jadi kerana ia mendapat tempat dalam kalangan penagih dadah republik berkenaan. Perkara ini turut diakui oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Othman Harun yang menyatakan bahawa penyeludupan dadah syabu secara besar-besaran adalah disebabkan permintaan dadah syabu yang tinggi dari Malaysia menyebabkan sindiket dadah berlumba-lumba untuk cuba menyeludup dadah itu ke Indonesia dengan menjadikan pusat hiburan sebagai pusat pemasaran utama.

            Oleh sebab permintaan dadah yang tinggi di pasaran dunia, harga dadah semakin berlipat kali ganda. Hal ini menyebabkan manusia sanggup merentas benua dan sempadan malah berkorban nyawa untuk menyeludup dadah. Tidak hairanlah sekiranya mereka menggunakan pelbagai cara untuk mencari “keldai dadah” sebagai ganti. Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan untuk menyeludup dadah, salah satunya adalah dengan menggunakan bagasi. Namun, kaedah ini sudah lama dan acapkali berjaya dikesan oleh pihak berkuasa. Antara taktik lain yang digunakan adalah dengan menggunakan sabun mandi yang ditebuk untuk dimasukkan dadah, bingkai gambar, komputer riba dan yang terbaru kaedah menggunakan baju yang direndamkan ke dalam cairan dadah.

           Selaras dengan permintaan dadah yang tinggi ini juga, sindiket dadah sering mencari wanita-wanita yang terdesak, berkeinginan untuk keluar daripada kemiskinan dan mencari kemewahan hidup dalam masa yang singkat sebagai mangsa “keldai dadah”. Kebanyakan mangsa “keldai dadah” ialah golongan belia. Sindiket dadah menggunakan pelbagai helah seperti tawaran pekerjaan dan gaji yang lumayan kepada mereka. Lebih malang dari itu, terdapat segelintir kaum wanita yang menjadi mangsa atau Tipah tertipu ini disebabkan oleh kebodohan mereka sendiri yang tidak dapat membezakan passport yang diberikan kepada mereka itu palsu atau betul. Hal ini kerana, menurut pihak Imigresen di lapangan terbang beberapa orang mangsa yang ditahan di lapangan terbang ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Hal ini berikutan mangsa telah ditahan sebagai keldai dadah, malah pasport yang digunakan juga adalah palsu.

2.4 Pengaruh Laman Sosial

            Di negara Malaysia, terdapat 7.5 juta pemilik akaun sosial iaitu suatu jumlah yang agak besar jika dibandingkan dengan penduduk negara ini. Kini terdapat pelbagai jenis laman sosial yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia antaranya Facebook, Twitter, Tagged, Myspace dan sebagainya. Walaupun sudah banyak laporan mengenai pembabitan sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan wanita tempatan sebagai penyeludup dadah tersiar di media, bilangan mereka yang berjaya diperdaya masih lagi berlaku. Ini menunjukkan ahli sindiket dadah terbabit begitu licik dan menggunakan apa – apa sahaja cara untuk menjerat wanita di negara ini. Kata-kata cinta yang sentiasa diucapkan walaupun tidak pernah bertemu pada awal perkenalan menjadikan wanita yang dipikat tertarik hingga sanggup bersengkang mata berbalas chatting hingga ke pagi. Keahlian sindiket dadah antarabangsa ini adalah daripada pelbagai negara dan mereka ini memiliki kemahiran yang berbeza dan sangat licik hingga kegiatan mereka sukar dikesan. Walaupun mereka tahu mereka akan berdepan dengan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan kerana menyeludup atau memiliki dadah ke negara ini, ia tidak sedikit pun menjadi halangan bagi mereka menjalankan kegiatan tersebut. Perniagaan dadah ini adalah satu industri haram yang menguntungkan hingga menyebabkan ahli sindiket dadah terbabit masuk ke negara ini secara sah dengan menyamar sebagai pelancong atau pelajar dalam laman sosial seperti Facebook dan pada masa sama menggunakan kemewahan atau kemahiran berkomunikasi untuk memikat wanita – wanita tempatan. Apabila sudah berjaya dipikat, wanita – wanita tempatan akan ditawarkan kerja dengan gaji lumayan, percutian percuma atau segala bentuk kemewahan sebelum dipaksa menyeludup dadah.

           Dalam kejadian terbaru, pelajar kejururawatan kolej swasta di Damansara, Marylyne Sandra Sapat, 22, ditahan pihak berkuasa China kerana menyeludup 100 biji dadah jenis heroin dengan menelannya. Pelajar itu dipercayai ditawarkan RM5,000 untuk menyeludup dadah berkenaan oleh rakan Facebooknya iaitu seorang lelaki warga Afrika yang hanya dikenali sebagai Chimezie Michael. Lelaki itu memujuk mangsa ke China dengan segala perbelanjaan ditanggung. Michael juga berjanji membayar RM5,000 sebelum meminta mangsa menelan 100 biji dadah jenis heroin sebelum berlepas ke China. Pelajar itu ditahan di Lapangan Terbang Shenzen oleh pihak berkuasa sebelum menemui heroin berkenaan dalam perutnya. Pada 26 April lalu pula, 10 rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, New Zealand kerana menyeludup dadah bernilai NZ$10 juta (RM24 juta) yang disembunyikan dalam kasut masing-masing. Paling memeranjatkan ada di dalam kalangan mereka ini berstatus warga emas. Mengikut statistik, sejak 2007 hingga tahun lalu, 239 rakyat Malaysia telah ditangkap kerana kesalahan membawa dadah ke luar negara. Daripada jumlah itu, 120 daripadanya adalah wanita, dan 119 lelaki yang berusia di bawah 40 tahun manakala dalam tempoh Januari hingga April lalu, 34 rakyat Malaysia telah ditahan atas kesalahan yang sama di luar negara. Kebanyakan mereka membawa dadah itu dari lapangan terbang di negara ini. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim mengesahkan laman sosial Facebook adalah taktik terbaru dikenal pasti digunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk merekrut rakyat negara ini untuk dijadikan keldai dadah.

            Keldai dadah yang menjadi target pilihan sindiket dadah dalam laman sosial pada masa ini kebanyakannya ialah janda, dan gadis – gadis yang mempunyai taraf hidup yang rendah. Hal ini kerana wanita yang mempunyai taraf hidup yang rendah akan mudah terpedaya dengan ganjaran lumayan yang ditawarkan oleh mereka. Sindiket penjenayah antarabangsa akan menggunakan laman sosial di internet untuk memperdaya wanita muda menjadi keldai dadah di Asia. Siasatan Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB) mendapati sasaran uatama ialah wanita dari Malaysia, Singapura, Asia Tenggara dan Asia Timur. Pada 2006, rekod Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman mendapati 31 rakyat Malaysia termasuk 4 ditahan polis negara asing kerana kesalahan mengedar dadah. Antara Januari – mac 2008, seramai 9 rakyat Malaysia ditahan kerana mengedar dadah di luar negara. Mereka didapati mudah terjerat dengan cinta ‘Pak Arab’ dan terkini penangan cinta ‘Pak Hitam’ yang baru dikenali dilaman sosial. Hal ini dapat dibuktikan bahawa demi cinta, sesetengah wanita sanggup sanggup melakukan apa – apa sahaja termasuk mempercayai orang yang baru mereka kenali walaupun hanya melalui laman sosial. Jelaslah, bahawa kaum wanita terlalu taksub dengan cinta – cinta palsu yang hanya diperoleh melaui laman sosial. Hal ini membuatkan mereka mudah terpedaya dengan janji – janji manis warga asing yang hanya dikenali melaui laman sosial, sekali gus menjadikan mereka ‘Tipah tertipu’ kerana mudah diperdayakan oleh jejaka warga asing.

3.0 Langkah – langkah Mengatasi Kes Keldai Dadah

3.1 Peranan Pihak Kerajaan Dalam Membanteras Kes Keldai Dadah

          Pihak kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam membanteras masalah keldai dadah dalam kalangan masyarakat terutamanya kaum wanita. Kempen Anti dadah dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia telah dianjurkan secara berterusan di seluruh negara. Semua sekolah khususnya sekolah menengah wajar menganjurkan pelbagai aktiviti seperti melukis poster, ceramah serta kuiz bersempena dengan kempen tersebut. Kesedaran bahawa dadah itu musuh nombor satu negara haruslah disuntik dalam sanubari setiap pelajar. Pelajar harus dididik tentang kesan buruk akibat melibatkan diri dengan dadah serta perlu menjelaskan cara - cara untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam kancah gejala dadah. Selain itu, pihak sekolah harus mengetatkan peraturan sekolah yang sedia ada. Pelajar yang ditangkap mengedar dadah tidak wajar dipandang remeh dan perlu dikenakan hukuman yang berat seperti dibuang sekolah dan perlu dilaporkan kepada pihak pihak polis. Khidmat kaunseling juga perlu disediakan untuk remaja yang disyaki mengedar dan menagih dadah untuk membimbing mereka semua ke arah jalan yang betul. Hal ini demikian, kebanyakan penagih dadah berasal daripada keluarga yang bermasalah.

            Kedatangan warga asing ke negara ini juga merupakan punca bilangan keldai dadah dalam kalangan wanita semakin meningkat. Sebagai contoh warga Afrika dan Iran yang pada zahirnya datang ke negara ini untuk menyambung pengajian tetapi telah menyalahgunakan visa tersebut untuk tujuan memudahkan pergerakan mereka bagi melakukan penyeludupan dadah dan ada pula yang berjaya memikat hati wanita tempatan dengan cinta mereka. Keadaan ini lebih memudahkan kegiatan mereka kerana segala aktiviti mereka akan menjadi lebih sukar untuk dikesan kerana dilakukan oleh rakyat tempatan yang hanyut dengan cinta dan janji-janji manis warga asing tersebut. Menyedari pelbagai masalah yang berpunca daripada mereka ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bijak membuat keputusan iaitu dengan menghentikan pengeluaran visa ketibaan (VOA) dan pas lawatan sosial kepada pelajar – pelajar asing. Pengumuman itu dibuat oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 20 Februari 2012 yang lalu. Pas lawatan sosial hanya akan diberikan setelah mereka mendapatkan surat pengesahan pendaftaran daripada pihak IPTA dan IPTS bagi mengelakkan berlakunya penipuan untuk mendapatkan VOA. Melalui cara ini, pihak berkuasa dapat mengawal kemasukan mereka selain dapat meneliti tujuan sebenar kemasukan warga asing ke negara ini sama ada untuk menyambung pengajian ataupun mempunyai niat yang tidak baik.

           Pihak kerajaan juga perlu menyediakan hukuman yang setimpal kepada pengedar dadah untuk memberi pengajaran kepada orang lain. Misalnya diberikan hukuman mati mandatori bagi pengedar dadah. Hal ini adalah kerana, tanpa pengedar dadah ini sudah tentu penagih akan sukar memperolehi bekalan dadah. Sebagai contoh, hukuman bagi penyalahgunaan dadah jenis ‘Syabu’. Kesalahan mengedar dadah Syabu iaitu antara 20 gram hingga 50 gram (di bawah seksyen 3 (a) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27). Hukuman minima adalah 20 tahun penjara dan 15 kali sebat dan hukuman maksima pula adalah 30 tahun penjara dan 15 kali sebat. Jika melebihi daripada 50 gram akan dikenakan hukuman mati mandatori. Pihak kerajaan juga perlu mengadakan pencegahan masalah keldai dadah melalui kempen tentang dadah di sekolah – sekolah dan institusi – institusi pendidikan yang lain. Sebagai contoh, pihak kerajaan hendaklah mengadakan aktiviti – aktiviti seperti ceramah, seminar, pameran dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk memberi informasi, pengetahuan serta kefahaman kepada masyarakat terutama golongan remaja tentang bahaya dadah dan memberi kesedaran kepada mereka supaya sentiasa menjauhi perkara – perkara yang berkaitan dengan dadah. Selain itu, pihak sekolah dan pihak yang berkenaan juga boleh mengadakan aktiviti ko-kurikulum seperti perkhemahan motivasi dan sebagainya.

         Pihak kerajaan juga perlu mengadakan kerjasama dengan masyarakat luar untuk membanteras penyalahgunaan dadah yang berlaku di negara ini. Sebagai contoh, masyarakat dan pihak kerajaan perlu bersama – sama serta bertindak pantas dalam melaporkan kegiatan – kegiatan yang mencurigakan. Ibu bapa perlu mengawasi dan bertanggungjawab dalam menjaga anak-anak mereka. Hal ini kerana, masalah untuk menyelesaikan isu keldai dadah bukan hanya pada pihak kerajaan sahaja. Penggunaan motto seperti ‘Dadah Musuh Negara’, ‘Dadah Memusnahkan Hidup Anda’, ‘Jauhi Najis Dadah’, ‘Dadah Membawa Padah’, dan lagu – lagu yang berkaitan dengan dadah merupakan usaha yang murni dan perlu dijalankan secara berterusan oleh pihak kerajaan.

3.2 Mengadakan Kerjasama Serantau Antara Negara

           Isu keldai dadah sememangnya sudah tidak asing lagi kerana kes ini kerap menjadi perbualan di media sama ada di media massa, media cetak, mahupun media elektronik. Pelbagai langkah perlu diambil untuk mengatasi kes ini daripada terus menular antaranya ialah mengadakan kerjasama serantau. Kerjasama serantau memerlukan usaha bersama dan kata sepakat antara negara jiran bagi mengambil langkah yang terbaik dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi melibatkan negara mereka. Hal ini disebabkan kes keldai dadah yang semakin meningkat dan membimbangkan rakyat di seluruh dunia.

             Hasil daripada perbincangan daripada kerjasama serantau yang dilakukan, pelbagai perkara dapat dimanfaatkan bersama dalam membanteras kes keldai dadah yang dihadapi oleh negara serantau. Antaranya ialah negara yang terlibat dalam kerjasama serantau ini dapat meningkatkan pertukaran maklumat dalam semua bidang masalah dadah melalui organisasi serantau dan antarabangsa. Sebagai contoh mesyuarat AIFOCOM iaitu ASEAN Inter-Parliamentary Assembly Fact-Finding Committee. Antara tajuk-tajuk kertas yang dibentangkan adalah mengenai “Strategi Mengurangkan Pembekalan Dadah, Strategi Mengurangkan Permintaan Dadah, Kerjasama di Peringkat Kebangsaan, Kerjasama Serantau dan Antarabangsa, Situasi Dadah di Negara Brunei Darussalam, dan Sindiket Dadah Antarabangsa”. Antara negara yang membentangkan isu dadah dalam mesyuarat ini ialah negara Singapura yang membentangkan mengenai Penyeludupan Dadah Haram di Singapura, Malaysia pula membentangkan isu Kawalan Dadah, Indonesia mengenai Situasi Masalah Dadah di Indonesia, negara Filipina membentangkan mengenai Tindakan Yang diambil Oleh Kerajaan Filipina Mengenai Pengawalan Dadah, dan negara Vietnam mengenai Pencegahan dan Memerangi Dadah dan Jenayah Berkaitan Dadah di antara tahun 2010 hingga 2012, Proses dan Hasilnya. Diakui bahawa dadah utama yang mendapat permintaan tertinggi ialah Methylemphetamine iaitu Syabu. Sebagaimana yang dibentangkan oleh negara Brunei iaitu hasil tangkapan sepanjang 2012, peratus penyalahgunaan dadah di negara tersebut adalah pilihan mereka iaitu 89.7 peratus melibatkan dadah jenis Syabu manakala dadah nombor dua yang mereka gemari ialah Kanabis iaitu sebanyak 8.06 peratus dari jumlah tangkapan diikuti Erimin 5 peratus, Ketamin dan Ekstasi.

          Begitu juga dengan kerjasama serantau yang melibatkan dua negara iaitu Malaysia dan Thailand. Kedua-dua negara ini terus komited meningkatkan kerjasama serantau dalam usaha menyekat sindiket pengedaran dadah yang kini turut disertai golongan wanita. Pengarah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata bahawa pihaknya mendapati golongan wanita kini bukan lagi dijadikan keldai dadah sebaliknya penglibatan mereka adalah atas kehendak mereka sendiri selepas mempengerusikan mesyuarat kerjasama dua hala Malaysia-Thailand kali ke-35. Hal ini mungkin kerana selama ini pihak polis banyak memberi fokus kepada golongan lelaki. Oleh sebab itu, wanita mengambil peluang untuk terlibat sama dalam kes mengedar dadah. Negara Thailand diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Lembaga Kawalan Dadah Thailand iaitu Sukhum Opasniputh bagi mesuyuarat kerjasama dua hala ini. Kedua-dua negara membincangkan langkah proaktif dalam usaha mengekang penyeludupan dadah. Tambahan pula, Malaysia dan Thailand menghadapi masalah yang sama iaitu dadah dibawa masuk dari negara lain seperti Iran dan seterusnya menjadikan Malaysia dan Thailand sebagai transit pengedaran dadah. Perkara ini sangat membimbangkan kedua-dua negara. Mesyuarat yang dijalankan lebih fokus kepada usaha mengetatkan kawalan kemasukan dadah dari semua laluan dengan negara jiran terutama yang melibatkan wanita sebagai ejen pengedaran.

           Hakikatnya, masalah pengedaran dan pengeluaran dadah mempunyai dimensi antarabangsa. Strategi negeri tidak mungkin berjaya tanpa sokongan dan kerjasama antarabangsa. Hal ini kerana dadah dibekal dan diedar ke negara lain berdasarkan permintaannya yang tinggi di seluruh dunia. Malaysia telah memainkan peranan yang aktif dalam menggerak dan memberi keutamaan kepada usaha mencegah atau mengawal pengedaran dadah. ‘Tipah Tertipu’yang sinonim sebagai panggilan terhadap wanita yang diperdaya menjadi mangsa dadah ini, akan semakin berkurangan sekiranya kerjasama serantau antara negara dilakukan demi kepentingan semua pihak.

4.0 Kesimpulan

            Kejadian sebegini sememangnya memusnahkan masa depan rakyat yang tertangkap kerana mangsa terpaksa berhadapan dengan hukuman yang berat termasuklah hukuman gantung serta penjara seumur hidup. Lebih mendukacitakan lagi, hal ini amat memalukan dan mengaibkan keluarga mangsa serta menjejaskan nama baik negara secara menyeluruh. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab semua pihak terutamanya anggota keluarga dan ahli masyarakat memainkan peranan yang lebih aktif untuk membendung gejala keldai dadah ini daripada terus berleluasa. Hal ini penting kerana pihak berkuasa, baik polis mahupun kementerian yang berkaitan, seperti Kementerian Luar dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah dan sedang memainkan peranan mereka dengan aktif dalam usaha mendidik dan menyedarkan rakyat daripada terjerumus ke kancah seperti ini.

       Menurut mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, masyarakat hendaklah peka terhadap isu – isu semasa yang dipaparkan sama ada di media cetak mahupun di media elektronik agar tidak mudah tertipu dengan sindiket – sindiket yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka. Maka, masyarakat kini perlu berhati – hati terutamanya kaum wanita agar terselamat daripada menjadi ‘Tipah tertipu’ iaitu menjadi keldai dadah. Walau bagaimanapun, tindakan pihak Kementerian Luar Negeri, Pasukan Polis Antarabangsa, serta beberapa pihak lain yang terlibat dalam menangani perkara ini perlu diberi penghargaan oleh kita kerana mereka jugalah yang bersusah payah untuk membebaskan rakyat Malaysia yang ditangkap di luar negara selama ini disamping membenarkan serta membawa ahli keluarga mangsa untuk melawat mangsa keldai dadah di penjara luar negara.

        Oleh itu, semua pihak hendaklah berganding bahu dalam memainkan peranan masing – masing untuk menangani kes keldai dadah. Masyarakat hendaklah peka terhadap sekeliling mereka agar komuniti berasa selamat berada di antara satu sama lain. Menurut timbalan Pengarah Polis Jabatan Siasatan Jenayah (Narkotik) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, anggota keluarga dan ahli masyarakat hendaklah menitikberatkan soal aspek mendidik, menjaga dan menyedarkan baik suami, isteri mahupun anak – anak supaya mereka tidak mudah terpedaya dengan orang yang beru dikenali. Hal ini kerana, kelompok inilah yang paling rapat dengan mangsa dan paling berpeluang untuk mempengaruhi segala tindak tanduk mereka terutamanya dalam menjejaki segala aktiviti yang dilakukan oleh mereka sepanjang masa. Semoga komitmen dan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat ini dapat mengurangkan dan seterusnya mengatasi kes ‘keldai dadah’ ini secara keseluruhannya.


Bibliografi

Annette Fleckenstein. (2011). Drugs and Society. United Kingdom: Johns Learning International.
        Antoni Lishak. (2008). Drugs: What’s That Got To Do With Me. United States : Library of          Congress Cataloging.

Bernama. (2013). “Keldai Dadah Warga India di Tahan di Pahang” dlm. Berita Harian 17 Mac.

Fairuz Zaini. (2012). Masalah Keldai Dadah Dalam Negara. Retrieved Mei 13, from Slide Share :           http://www.slideshare.net/fairuzzaini104/masalah-keldai-dadah-di-kalangan- wanita#btnNext

Faisal Ahmad. (2010). “ Awasi Jerat Keldai Dadah” dlm. Sinar Harian 20 Mei.

Halina Mohd. (2011). “Kerjasama Banteras Ancaman Sindiket Dadah Antarabangsa” dlm. Dewan            Masyarakat 36: 3 Ogos hlm. 14 – 15.

Lepat. (2009, Julai 22). Keldai Dadah Siapa Tertipu. Retrieved April 27, from Ngkabang Nota :                 http://forum.engkabang.net/index.php?topic=51599.0

Malaysia. Agensi Anti - Dadah Kebangsaan 2009. Statistik Tangkapan Keldai Dadah Di Malaysia.             Kuala Lumpur : Kementerian Dalam Negeri.

Mohd Reduan. (1990). Krisis Dadah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Shakil. (2012). “Keldai Dadah Perlu Ditangani Secara Berhemah” dlm. Dewan Masyarakat             35:3 Ogos hlm. 142.


No comments:

Post a Comment